reallifegoeslikethis
reallifegoeslikethis
Blog : Membogelkan Diri Pada Dunia
Sepatutnya tulisan ini boleh dikategorikan di bawah my_theory, cuma oleh kerana saya menaip dalam keadaan hidung berbunyi his-his-his (bukan nak mengawan, saya demam), maka ia jadi lebih peribadi.
..................
Saya pernah menulis tentang blog awal blog my_theory dulu. Saya mempersoalkan blog sebagai suatu saluran realiti terpilih yang gila glamor, lari daripada dunia sebenar dan mungkin juga satu saluran alternatif.
Akhir-akhir ini, saya jadi makin malas nak menulis di blog. Antaranya tentu sahaja kerana kerja-kerja saya makin banyak. Tapi menggunakan alasan 'sibuk' nampaknya terlalu daif dan 'melarikan diri'. Sejujurnya saya bukan lagi orang di dunia blog.
Saya makin merasakan bahawa ini bukan lagi medium saya. Saya makin pesimis dan anti mungkin dengan dunia blog. Bukan kerana saya tak mahu berkongsi atau tiba-tiba saja jadi sensitif amat macam pokok semalu, cuma saya rasa macam membogelkan diri bila menulis di blog.
Ada benarnya komen-komen yang pernah diberi di awal penulisan saya lama dulu. "Adakah awak menulis untuk bising-bising pada dunia? " "Adakah anda tak berani bersuara dalam dunia sebenar?"
Dan bila soalan-soalan itu diulang tanya lagi baru-baru ini, saya jadi macam tersedar. Mungkin saya tidur dan bermimpi sebelum ini. Mungkin mimpi itu enak sangat sampai saya tak nak bangun dan pura-pura pengsan.
..............
Serasa bila menulis di medium yang bersifat global dan world-wide ini, saya begitu gila nak mendedahkan tentang diri di mata dunia. Seolah-olah setiap apa yang berlaku pada diri sendiri amat penting dan perlu diketahui dunia. Saya terlalu memandang tinggi pada diri sendiri.
Lebih daripada itu, kadang-kadang saya terlupa bahawa apabila saya menulis, semua boleh / akan / mungkin membaca tulisan saya itu. Blog tidak bersifat personal. Ia sangat publik, sangat terdedah pada semua pendapat dan pandangan orang. Apabila saya cuba menjadi blog itu se personal yang boleh, serahsia dan misteri yang mungkin, saya semacam badut sarkas yang terjoget-joget atas pentas.
Bila orang tertawa, saya pura-pura gembira. Pura-pura kononnya saya gembirakan hati mereka. Padahal mereka mentertawakan saya. Mereka menjadikan saya bahan gurauan.
.............
Blog adalah satu kaedah komunikasi. Sama seperti surat, e-mail, telefon, voice- messaging, sms. Cuma masalahnya ramai daripada kita (baca: saya) tersilap dengan fungsi dan kemampuannya.
Saya mengganggap blog macam handphone. Memang ia boleh jadi macam handphone. Ia boleh dijadikan serahsia dan personal yang mungkin. Silapnya kerap kali saya lupa bahawa masa saya gunakan handphone itu, saya dah aktifkan loud speaker. Semua boleh dengar, semua boleh interpretasi.
Saya dah jadikan setiap butir, setiap apa yang saya miliki hak dan milik orang juga. Lama-lama tanpa saya sedar, ruang saya dah jadi ruang orang. Semua rasa mereka berhak tahu juga. Setiap itu sebahagian daripada mereka juga.
............
Lalu yang bermain-main dalam kepala saya adalah kata-kata bijakpandai dulu kala :
"Makin banyak kita tahu, makin sedar kita akan kebodohan kita."
Saya tambah, " makin banyak cara kita boleh tahu sesuatu, makin senang kita nak tonjolkan kebodohan kita."
Mungkin awak akan kata pada saya "Orang demam bawak rehat banyak-banyak. Bahaya. Ni pun dah nampak ada mereng sikit-sikit."
Memang semangat nak berubah, jadi lebih baik (pada pendapat diri) macam demam. Ia panas-panas suam. Tak lama nanti kebah dan hilang.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home